Boleh bantu cari Nora Anne, walaupun gunakan kaedah mistik – Polis

Diposting pada

Boleh bantu cari Nora Anne, walaupun gunakan kaedah mistik – Polis

Boleh bantu cari Nora Anne, walaupun gunakan kaedah mistik - Polis

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan menolak sebarang bantuan yang diberikan individu atau pihak tertentu yang menggunakan kaedah ‘mistik’ dalam usaha mengesan Nora Anne Quoirin, 15, remaja perempuan warga Ireland yang hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, pihaknya menghargai sesiapa sahaja yang ingin membantu sekali gus mempercepatkan usaha mengesan mangsa.

“Sekiranya ada sumber bantuan, kita akan menerima apa sahaja jenis bantuan daripada orang kampung mahupun sesiapa sahaja.

“Kita akan menerima serta mengambil tindakan seperti mana yang kita dah buat sejak tiga hari lalu dan apa sahaja petunjuk yang diberi kepada pihak polis kita akan ambil tindakan dan maklumkan kepada keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya pihak polis membenarkan orang awam membantu pencarian mangsa setelah penduduk di kawasan itu memaklumkan kawasan sekitar resort The Dusun Pantai Hill sering berdepan ‘gangguan’

Mengulas lanjut, Mohd Nor Marzukee berkata, cabaran paling besar dihadapi pihaknya adalah tiada sebarang petunjuk yang boleh dijejaki setakat ini mengenai mangsa.

“Dekat resort ini tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan cuma ada satu di tepi jalan milik orang awam tetapi polis dah buat pemeriksaan, tiada sebarang petunjuk daripada CCTV tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, operasi pencarian hari ini dimulakan pada pukul 7.45 pagi tadi dengan kekuatan seramai 206 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

“Agensi keselamatan yang terlibat antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan negeri, petugas Sapura serta penduduk tempatan, termasuk Orang Asli,” kata beliau.

Gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama ibu bapanya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu, sebelum Nora Anne dilaporkan hilang, Ahad lepas.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.