Big Stage 2019: Gagal kawal emosi, Dinda Permata hampir tersingkir

Diposting pada

Big Stage 2019: Gagal kawal emosi, Dinda Permata hampir tersingkir

Merdeka

PENYANYI dari Indonesia yang juga peserta Big Stage 2019, Dinda Permata menegaskan kesilapan yang dilakukan di atas pentas bukanlah penyebab dia menangis semasa melakukan persembahan.

Jelas Dinda, dia gagal mengawal emosi kerana lagu Terlalu Memuja mengingatkannya kepada ibu dan adik beradiknya yang berada di Indonesia. 

"Sebenarnya, semasa sesi latihan saya sudah menangis dan memberitahu kepada guru teknikal vokal, Cikgu Syafi yang saya khuatir tidak mampu untuk mengawal emosi.

"Lagu Terlalu Memuja bukan dipilih oleh saya tetapi pihak produksi. Saya memberikan sepenuh kepercayaan kerana tahu mereka lebih arif untuk memilih lagu yang digemari oleh masyarakat Malaysia.

"Kejadian menangis di atas pentas bukan disebabkan saya sudah melakukan kesilapan. Kali pertama saya mendengar lagu itu sudah membuatkan air mata saya menitis.

"Setiap kali menyanyikan lagu tersebut saya terfikir ibu dan adik-adik saya. Saya tidak tahu sama ada sudah memberikan yang terbaik untuk mereka atau tidak.

"Saya anggap ini adalah cabaran kepada saya untuk membawa lagu yang beremosi. Ternyata pada malam ini saya gagal mengawal emosi semasa menyampaikan lagu itu," katanya sambil menitiskan air mata.

Dinda ditemu bual selepas tamatnya konsert ketiga Big Stage 2 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Dinda mengucapkan terima kasih kepada penyanyi Aziz Harun kerana menjadi penyelamat kepadanya daripada tersingkir.

BACA: Big Stage: Aziz Harun tarik diri, Dinda Permata terselamat

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Aziz kerana telah memberi peluang untuk saya menebus kembali kesilapan yang telah dilakukan.

"Saya juga berasa terharu apabila segelintir penonton yang bukan dari kalangan peminat saya menjerit tidak membenarkan saya tersingkir," katanya kepada Gempak.

Pada awalnya, Dinda telah diumumkan sebagai peserta kedua tersingkir pada minggu ketiga Big Stage 2019.

Walaubagaimanapun, Aziz mengambil keputusan untuk menarik diri secara rela hati kerana ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara, justeru Dinda terselamat pada minggu ini.

10 peserta melangkah ke minggu keempat dan bakal mempersembahkan lagu mengikut tema Duominasi.

Komposer Ajai diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan.

Penyanyi Aman RA telah membuka pentas Big Stage minggu ketiga dengan lagu tema filem Sangkar, 'Fighter'.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.

Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.