Bekas ahli UMNO yang tiada kes mahkamah boleh sertai Bersatu – Tun Mahathir

Diposting pada

Bekas ahli UMNO yang tiada kes mahkamah boleh sertai Bersatu – Tun Mahathir

Merdeka

PUTRAJAYA: Bekas ahli UMNO yang kini sudah menjadi ahli bebas kini boleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata partinya hanya mempelawa ahli yang tidak terlibat dalam sebarang masalah seperti menghadapi kes di mahkamah.

“Ahli UMNO yang keluar dari UMNO, boleh menyertai Bersatu, melainkan mereka mempunyai masalah tertentu seperti menghadapi kes dalam mahkamah.

“Kami tidak akan menerima mereka tetapi yang lain yang tidak terlibat, mereka akan diterima,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.

Ditanya mengenai jumlah ahli UMNO yang dijangka menyertai Bersatu, beliau berkata tiada sebarang anggaran.

Terdahulu, Bekas Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dilihat memasuki perkarangan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya pada jam 6:45 petang pada Khamis.

Dr. Hilmi difahamkan berkata beliau masih merupakan ahli dalam parti UMNO dan beliau hadir ke bangunan berkenaan kerana Dr Mahathir ingin berjumpa dengannya.

Apabila diminta mengulas, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata partinya berpandangan bahawa banyak kesalahan yang dilakukan UMNO tetapi ketika ini tiada tindakan sewajarnya yang diambil pihak berkuasa.

“Dahulu semasa saya jadi Presiden UMNO, ada tiga cawangan tidak buat mesyuarat dan parti itu diharamkan.

“Sebelum ini parti kami (Bersatu) juga turut diharamkan.

“Sekarang saya nampak seolah-olah, UMNO banyak buat salah tetapi masih diterima dan tidak dibatalkan pendaftaran. Kami tidak mendesak tetapi hanya beri pendapat,” katanya.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.