'Abe Nor' askar Melayu pertama dititah bersara pada umur 50 tahun

Diposting pada

'Abe Nor' askar Melayu pertama dititah bersara pada umur 50 tahun

Merdeka

KOTA BHARU: Bekas tentera, Mohd Noor Yaacob, 84, tidak dapat melupakan peristiwa menjadi perajurit berbangsa Melayu pertama dititah Yang di-Pertuan Agong Ketujuh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'Ayatuddin Al-Mu'adzam Shah agar perkhidmatannya dalam tentera disambung sehingga beliau mencapai umur 50 tahun.

Mohd Noor berkata beliau menerima titah itu ketika Almarhum Seri Paduka berkenan melawat Latihan Gonzales II yang disertainya di Kuala Dungun, Terengganu pada 18 Feb 1980.

Mesra disapa 'Abe Nor', Mohd Noor berkata dalam lawatan itu Almarhum Seri Paduka sempat beramah mesra dengannya termasuk bertanyakan tempoh perkhidmatan beliau dalam tugas.

"Saya memberitahu Seri Paduka, latihan itu merupakan latihan terakhir saya sebelum bersara memandangkan umur (saya) ketika itu sudahpun mencapai 45 tahun dan (sepatutnya telah) wajib bersara.

"Bagaimanapun, Seri Paduka bertitah 'mana boleh' dan menyatakan saya perlu berkhidmat lagi sambil menitahkan kepada seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyambung perkhidmatan saya selama lima tahun lagi dan ia berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan 2019 yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Perdana Kota Bharu Zawari Abdullah di Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, hari ini.

Majlis yang disertai lebih 100 kakitangan hospital swasta itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan diikuti dengan perkongsian pengalaman oleh Mohd Noor.

Mengulas lanjut, bapa kepada 10 anak itu berkata beliau memulakan khidmatnya dalam Tentera British pada 1953 sebelum berkhidmat dengan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari 1958 sehingga 1970 sebelum bersara sebagai Pegawai Waran II (PWII) pada 1985.

Mohd Noor berkata sepanjang berkhidmat hampir 30 tahun dalam bidang ketenteraan, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya termasuklah terpaksa mengutip cebisan mayat 14 rakan seperjuangannya yang terkorban dalam serangan hendap oleh komunis di Kampung Pasir Lundu, Sarawak pada 1970.

"Mereka yang terkorban sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Kem Lundu selepas menghantar barang catuan ke sebuah kem lain, namun dipertengahan jalan mereka diserang hendap oleh segerombolan komunis dan tidak mampu melawan sehingga ada yang terhumban jatuh daripada lori.

"Saya dan anggota lain kemudiannya diarahkan untuk menghantar pertolongan dan antara yang paling diingati apabila saya terpaksa memasukkan semula biji mata rakan yang terkeluar akibat serangan hendap itu," katanya.

Mohd Noor yang merupakan Ketua Cawangan Persatuan Veteran Tentera Malaysia cawangan Ketereh berkata banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh perwira negara untuk mencapai kemerdekaan termasuk mengorbankan nyawa sendiri demi mempertahankan negara.

"Hingga kini, dua peluru penabur yang masih tertanam di siku kiri saya selepas terkena 'tembakan curi' komunis ketika sedang beroperasi di Serian, Sarawak pada 1965," katanya.

Beliau turut menasihati generasi muda masa kini supaya mengukuhkan perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama selain tidak melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan agar kemerdekaan yang dikecapi dan dinikmati hari ini dapat dipertahankan selamanya.

"Benarlah kita merdeka tanpa titisan darah tetapi selepas merdeka anggota tentera kita bersusah-payah terutama apabila terpaksa berhadapan dengan komunis.

"Tiap-tiap hari askar kita kena serang hendap di sana sini, sebab itu saya menyeru kita semua supaya menjaga dan menyayangi tanah air kita," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.