750 kilogram serbuk kuning telur dari India dirampas

Diposting pada

750 kilogram serbuk kuning telur dari India dirampas

750 kilogram serbuk kuning telur dari India dirampas

BUTTERWORTH: Cubaan membawa masuk serbuk kuning telur dari India ke negara ini gagal apabila Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 750 kilogram (kg) serbuk berkenaan di Pelabuhan Dermaga Dalam (DAD) di sini.

Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, dalam pemeriksaan pada pukul 5 petang Selasa, pihaknya mendapati serbuk yang dianggarkan bernilai RM17,909.66 itu dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah, seperti permit import (IP).

Berikutan itu, Maqis, kata beliau, telah mengeluarkan kompaun kepada pengimport tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada pengimport supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kepada keselamatan makanan.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperhebatkan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Sementara itu, Zarina berkata pihaknya turut berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan dari pelbagai negara tanpa dokumen yang sah seperti IP dan sijil kesihatan dari negara asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang(PIA).

Katanya, hasil pemeriksaan yang di jalankan sepanjang bulan Julai sehingga semalam, pihaknya telah membuat rampasan pelbagai daging haiwan seperti daging babi, itik, lembu dan kambing yang semuanya 80 kg.

Zarina berkata, produk daging-daging itu adalah untuk mencegah penularan penyakit seperti virus African Swine Fever (ASF) yang boleh disebarkan melalui babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej dan sebagainya.

Beliau berkata semua rampasan itu  dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) Batu Maung untuk tindakan pelupusan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Perbuatan mengimport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan menurut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan boleh di denda tidak melebihi RM100,000 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.